Ramai yang sudah pastinya maklum susu ibu adalah makanan terbaik untuk si manja tersayang. Namun, sekadar peka dan maklum saja tanpa mengambil inisiatif mengamalkannya, adalah ibarat mencurah air ke daun keladi. Amalan menyusukan bayi, bukan sekadar kemahiran bagi si ibu semata-mata tetapi demi kesihatan diri si kecil.
Juster, tahniah bergelar ibu bapa baru belum mencukupi andai wanita itu 'gagal' menjadi ibu sempurna jika secara sengaja, enggan menyusukan bayinya dengan khasiat susu badannya. Syabas bagi mereka yang sedari awal sudah membuat persiapan untuk menyusukan sendiri anak tersayang.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengesahkan kolostrum, iaitu susu ibu berwarna kuning dan lekit yang dihasilkan pada fasa akhir kehamilan adalah bekalan makanan terbaik untuk bayi baru lahir. Persoalannya, bagaimana mahu memulakan amalan mulia ini?
Pertama, seorang ibu perlu diberi peluang untuk memegang bayinya, bersentuhan kulit dalam suasana tenang, tidak stres dan tidak tergesa-gesa. Paling penting, 'kemesraan' ibu dan anak itu tidak harus disekat dengan sebarang tempoh dan penyusuan susu ibu itu seharusnya dimulakan secepat mungkin selepas bersalin.
Memupuk kecenderungan menyusu badan sedari awal amat penting untk kejayaan penyusuan ibu bagi jangka panjang dan membolehkan bayi mendapat manfaat susu ibu. Kolosterum dalam susu ibu misalnya, bukan saja penting untuk perkembangan dan pembangunan bayi, tetapi juga memberi manfaat yang berterusan hingga bertahun-tahun akan datang.
Penyelidikan menunjukkan bahawa kunci kejayaan penyusuan ibu bagi jangka panjang ialah permulaan awal, sebaik-baiknya dalam masa sejam selepas kelahiran. Ini bermakna tidak memberi susu formula melainkan jika perlu atas alasan atau dari segi perubatan.
Pemberian susu formula kepada bayi anda pada beberapa hari pertama hanya mengurangkan banyak peluang kejayaan anda menyusukan bayi dalam jangka panjang.
Sentuhan kulit dengan kulit antara ibu dan bayi baru lahir adalah sangat penting. Jadi, dakaplah bayi anda dengan secepat mungkin! Menerusi hubungan intim ini, bayi akan mengecam bau payudara ibunya dan menghalakan bibirnya ke arah puting anda.
Bayi berada dalam keadaan cerdas selepas dilahirkan dan akan mencari-cari payudara semasa dalam dakapan ibu.
Usah bimbang dan kecewa jika penyusuan tidaklah selancar seperti yang diharapkan. Sebaliknya, ibu boleh memberi sedikit dalakan dengan cara berikut:
- Tarik nafas panjang jika perlu. Jika bayi anda menangis, luangkan masa untuk menenangkannya.
- Pegang bayi anda dalam kedudukan selesa untuk anda berdua.
- Suakan atau halakan puting payudara anda pada mulut bayi dan usap puting pada bibirnya.
- Tunggu hingga mulutnya terbuka lebar sebelum memasukkan puting ke dalam muluntya.
- Jika percubaan kali pertama tidak berjalan lancar, jangan bimbang! Anda sudah pun memperkenalkan payudara anda kepada bayi dan anda berdua akan menemui cara yang betul dalam percubaan seterusnya.
Pada saat-saat ini, adalah penting untuk ibu memastikan mereka dapat menyusukan bayi dengan betul dan selesa.
(Sumber: Berita Harian 5/6/2012)
Salam Sayang,
Umie Imans
No comments:
Post a Comment